Wednesday, September 8, 2010

4th floor?

Kepada semua,

Harap dimaafkan segala silap dan salah,
Sesungguhnya aku dewasa yang masih mentah.

Jika ada terkasar bahasa atau tertarik muka,
Faham-fahamlah bahawa kita semua memang mengada-ngada. ;p

Sepanjang Ramadhan ini dah berbuka dan sahur bersama,
Sekali pun aku takkan lupa, malah ingat sampai tua.

Biarpun penat lelah memanjat tangga,
Aku gagahi jua mengenangkan duit dah tak ada.

Buat Zunainah dan Fatin Fahima,
Memang aku seronok jadi orang tengah untuk kome berdua.

Pada Nabila dan juga Shareena,
Tahun ini yang pertama dan terakhir kita serumah.

Dan tidak lupa, Yang Mulia Raja Nur Fatiha,
Terima kasih bawa jalan-jalan naik Estima.

Aku bahagia dengan semua kerana ada masam manisnya.
Semoga Ramadhan yang semakin berlalu ini dihargai sepenuhnya,
segala itu ini yang dibawanya bersama.

Maka dengan itu, diucapkan Selamat Hari Raya,
buat kita semua yang ke dua puluh dua.

Peluk dan cium dari kita.


Iva Munira.

Monday, August 30, 2010

Nationalism

Jadi switzerland bukan senang,
walaupun berada di kedudukan neutral.
Di kanan, teman.
di kiri pula kenalan.

Goyah hati masing-masing,
tak siapa yang tahu.
Ada kalanya lebih berpihak pada yang di sebelah situ.

Menjadi saksi aksi hipokrasi manusia bermain api.
Alasannya, sayang sudah bukan empunya.
Berkelip mata dia yang memerhati.
Terdetik hati mengenangkan suatu ketika itukah nasib diri.


Dan hari ini, keadaan berubah arah.
memalingkan muka ke dunia-nya.
Segala perit getir, tangis juga yang manis,
berada di atas bahu.

Andainya pergi bukan suatu pilihan,
tetapi arahan,
pasti sudah jauh kita merantau,
mencari kesan lebih mendalam.


Lihatlah dunia,
sedang dia meniup api yang kini sisa,
menunggu masa untuk terbakar semula.


Doa.

Iva Munira.

Independence

Bukan niat-ku mencela yang putih, hanya ritmanya kurang mendayu.
Apabila cuba bersuara, kedengaran sakit dan lurus.

Setiap kali dinyanyikan irama merdu (dalam konteks monolog dalaman) ingin sekali berlantang,
biar terdengar lenggok dan gayanya.

Aku menjari-jarikan bahasa,
Memadam punca sakitnya mata,
Menutup sinis dari jiwa,
Untuk sebutan mereka yang menduga.

Bahasa ini menyulamkan kata hati bangsa yang sejati.
Tanpanya, siapalah kita? Ibarat hidup tetapi mati.

Alhamdulillah buat 53 tahun kebebasan.

Iva Munira.

Possible

Bila waktu itu sampai,
hapuskanlah kalau-mu itu.
usah terlalu bergantung padanya.

Bila hati gundah gulana,
lupakan terus kalau-mu itu.
persetan semua kemungkinan.

Bila tangan kaku persis batu,
tinggalkan kalau-mu itu.
semoga di layukan semula yang lesu.

Bila minda bercanggah erti dengan logik,
mungkin ada baiknya kalau-mu itu.
hanya kurangkan berharap.

Bila adanya bila di saat memerlukan,
tolak tepi si kalau-mu itu,
ambil iktibar dan sepenuh guna.


Sampai bila nak berkalau, kawan?


Iva Munira.

Saturday, August 28, 2010

Conscious

Jikalau ada kata untuk membuktikan rasa ini,
bahasa sudah pasti secantik mentari di dini hari.
Andai punya-ku masa buat memanjangkan keindahan,
hati tentunya berbunga dalam ketenangan.

Kapan sampainya waktu itu,
di mana aku sunyi sepi tak berlagu,
hancur lebuh tak bersekutu,
maka akan datangnya rindu.

Bukan selalu emosi ini membuak,
Walaupun hakikatnya itu penafian.
jari jemari sentiasa bergerak,
bagi menggantikan perbualan.

Akan selalu di hati-ku,
setiap inci sudut gerak geri emosi,
Arah mata, ungkapan bibir,
dan percubaan untuk terus bersembunyi.

Kini di sini mengelak dari menghitung hari,
berhati-hati di kala bersua duri.
Aku pasti, sejauh, setinggi, seberat, walau sehebat mana,
putusnya tetap jadi penantian.

Alasan.

Iva Munira.

Saturday, July 31, 2010

The Comeback

Kapan sudah aku ketinggalan, peredaran asyik menyesatkan.
Memintal urat deria pujangga, buat mengabdikan jasanya bahasa.
Kalau dulu sering menyandar, meraih teguran juga perhatian,
kala ini sepi bertambah sunyi, hanya iri yang menggerakkan sendi.

Tak usah dilayan sakit dan perit, kelak berganda pahit dan jerit.
Tapi kita biasa, sukar mengalah di pihak lawan,
mudah rebah di sisi keadilan.

Tangiskan semua sendu, tawakan yang haru biru.
Jangan disimpan isi kesumat, bakal memakan tenaga kudrat.

Mungkin ini hanya repekan, bagi mereka yang punya 'kehidupan'.
Namun bukan sebarang tulisan, ilham datang di saat bergetaran.
Minda berputar di kelajuan terendah, hati berdetik melancarkan darah.
Tangan lemah cuba mengerah, biar janji tamatnya indah.


WASALAM.



Iva Munira.

Friday, April 30, 2010

Earth Hour

Kelabu, asap kelabu.
Aku bersiulkan angin jerebu.
Jalanku berlapik isi kekabu.

Gemuruh, darah gemuruh.
Bermandikan saliran hujan keruh.
Beratapkan langit di musim luruh.

Celaka, memang celaka.
Tapak tangan rakus mencipta puaka.
Melukis mati bumi terluka.

Siapa, angkara siapa?
Yang dingin menjadi beku.
Yang terik bertambah haru.

Bukit bukau, ranjau berpanau.
Hutan belantara semakin sasau.

Bagaimana, ya bagaimana?
Jalan cerita nak dialih suara,
kalau yang tercipta mendatangkan murka.


Jawab.



Iva Munira.